Monday, May 4, 2009

ESQ:Mendakwa Para Nabi Mencapai Kebenaran Menerusi Pengalaman dan Pencarian

Mendakwa Para Nabi Mencapai Kebenaran (Kesedaran Rohani) Menerusi Pengalaman dan Pencarian (Tanpa Menyatakan Peranan Wahyu)[1]

27. Pada permulaan kursus, para moderator akan meminta kepada semua peserta supaya mengosongkan minda termasuk segala pengetahuan, pangkat dan kekayaan bagi memastikan hati mereka benar-benar dapat memahami apa yang akan dilalui. Perkara ini dinamakan sebagai zero mind process.

28. Menurut mereka, kursus ini tidak memerlukan sebarang catatan nota atau buku rujukan sebaliknya hanya mendengar, melihat dan memerhati melalui gambaran perjalanan yang akan dipaparkan. Bagi mereka, melalui pengalaman perjalanan hidup, manusia mampu untuk menemui kebenaran sebagaimana yang berlaku kepada tiga nabi besar iaitu Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Musa AS. Menurut ESQ, proses pencarian makna diri itu telah dilakukan oleh Nabi Muhammad melalui lima tahun di Gua Hira’. Nabi Ibrahim pula selama bertahun-tahun mencari makna diri di sebalik bintang, bulan dan matahari. Manakala Nabi Musa pula mencari selama 40 hari di Gunung Thur Saina’. Di dalam bukunya, pengasas ESQ turut menjelaskan bagaimana beliau telah menemui makna dirinya melalui pengalaman hidupnya yang penuh berliku.

29. Kaedah yang digunakan, para peserta akan dipaparkan dengan dua bentuk perjalanan iaitu outer journey dan inner journey. Outer journey iaitu sebuah perjalanan mengembara ke angkasa lepas sehingga menembusi alam cakerawala setakat yang dapat dilihat oleh teleskop hubble. Melalui perjalanan ini moderator akan menjelaskan bagaimana kebenaran al-Qur’an tentang permulaan penciptaan alam semesta. Manakala inner journey pula merupakan perjalanan menyingkap jauh ke dalam diri manusia. Ia melihat bagaimana kejadian tubuh badan fizikal manusia sehingga sampai kepada satu titik yang dipanggil sebagai God Spot. Pada titik tersebut terdapatnya nilai-nilai spiritual pada seluruh manusia tanpa disedari oleh diri manusia itu sendiri.

Ulasan:

30. Kenyataan bahawa kesedaran rohani (spiritual quotient) mampu dicapai melalui pengalaman adalah sesuatu yang agak meragukan. Ini kerana pengajaran seumpama ini boleh mengubah persepsi Islam terhadap ilmu. Bagi Islam pengalaman hidup hanyalah merupakan satu panduan agar manusia lebih berhati-hati tetapi ia tidak boleh dijadikan sumber mencapai tahap kesedaran rohani. Islam meletakkan ilmu sebagai punca untuk mencapai kesedaran rohani, oleh kerana itu golongan yang paling berilmu dianggap sebagai golongan yang amat bertaqwa kepada Allah, firman Allah di dalam surah Fathir ayat 28:

”Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu”.

31. Kenyataan bahawa ketiga-tiga nabi iaitu Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa menemui kebenaran atau kesedaran rohani melalui pencarian juga adalah tidak tepat. Ini kerana nabi-nabi tersebut menerima kebenaran dengan wahyu Allah SWT dan bukan dengan pencarian dan pengalaman. Di sini dikemukakan kebatilan hujah-hujah yang mengatakan para Nabi mencari sebelum menerima wahyu atau hidayah:-

a) Pencarian Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’ : Kita tidak boleh mengatakan Nabi Muhammad menemui kebenaran dengan pencarian melalui usahanya sendiri sebaliknya ia merupakan wahyu daripada Allah SWT. Ia jelas dalam hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a. : “Mula-mula wahyu Allah SWT diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah dalam bentuk mimpi-mimpi yang kebenarannya seterang cahaya siang hari, lalu kecintaan ber-khalwat (mengasingkan diri) dilimpahkan Allah SWT kepadanya. Ia pergi berkhalwat di gua Hira tempat ia beribadah kepada Allah SWT terus menerus selama beberapa malam sebelum kembali (atau ia ingin berjumpa dengan) keluarganya. Ia membawa bekal makanan untuk persediaan dan pulang menemui Khadijah (istrinya) untuk mengambil lagi bekal makanan hingga wahyu secara tiba-tiba diturunkan kepadanya pada saat ia masih berada di gua itu”.

b) Pencarian Nabi Ibrahim di sebalik bulan dan bintang : Nabi Ibrahim juga tidak boleh dikatakan menemui kebenaran melalui pencarian dan pengalaman. Ini kerana peristiwa yang digambarkan di dalam surah al-An’am ayat 76-78 bukan menunjukkan Nabi Ibrahim mencari dan menemui kebenaran hasil daripada usaha diri sendiri. Sebaliknya peristiwa itu berlaku setelah Nabi Ibrahim telah pun diutus menjadi nabi dan menyampaikan risalah Allah. Peristiwa itu hanya sebagai hujjah untuk menunjukkan kebenaran Allah SWT kepada kaumnya. Imam Fakhruddin al-Razi membentangkan hujah-hujah untuk mengatakan peristiwa tersebut berlaku setelah Nabi Ibrahim menjadi Rasul. Antara hujah beliau ialah seperti berikut:-

الحجة الأولى : أن القول بربوبية النجم كفر بالإجماع والكفر غير جائز بالإجماع على الأنبياء.

“Hujah pertama: Bahawa pendapat tentang ketuhanan bintang adalah kufur dengan ijma’, sedangkan kekufuran adalah sesuatu yang tidak harus secara ijma’ ke atas para Nabi”.

الحجة الثانية : أن إبراهيم عليه السلام كان قد عرف ربه قبل هذه الواقعة بالدليل . والدليل على صحة ما ذكرناه أنه تعالى أخبر عنه أنه قال قبل هذه الواقعة لأبيه آزر : { أَتَتَّخِذُ أَصْنَاماً ءالِهَةً إِنّى أراك وقومك في ظلال مبين } [الأنعام : 74].

“Hujah kedua: Bahawa Nabi Ibrahim a.s. sebenarnya telah mengenal tuhannya sebelum peristiwa ini dengan dalil (al-Qur’an). Dalil tentang kebenaran apa yang kami sebutkan ialah Allah SWT memberitahu tentangnya, bahawasanya beliau (Nabi Ibrahim) telah berkata sebelum peristiwa ini kepada bapanya, Azar: Adakah kamu mengambil berhala-berhala sebagai tuhan, sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-An’am)

الحجة الثامنة : أن هذه الواقعة إنما حصلت بسبب مناظرة إبراهيم عليه السلام مع قومه ، والدليل عليه أنه تعالى لما ذكر هذه القصة قال : { وَتِلْكَ حُجَّتُنَا ءاتيناها إبراهيم على قَوْمِهِ } ولم يقل على نفسه ، فعلم أن هذه المباحثة إنما جرت مع قومه لأجل أن يرشدهم إلى الإيمان والتوحيد . لا لأجل أن إبراهيم كان يطلب الدين والمعرفة لنفسه.

“Hujah kelapan: Bahawa peristiwa ini terjadi dengan sebab perdebatan antara Nabi Ibrahim a.s. dengan kaumnya. Dalil tentangnya bahawa Allah SWT ketika menyebut kisah ini berfirman: Dan demikian hujah kami, kami datangkannya kepada Ibrahim buat kaumnya. Ayat ini tidak menyebut buat dirinya sendiri, maka dimaklumi bahawa perbahasan ini berlaku dengan kaumnya untuk memberikan mereka petunjuk kepada iman dan tauhid. Bukan dengan kerana Ibrahim mencari agama dan pengetahuan bagi dirinya sendiri” [2].

c) Pencarian Nabi Musa di Thur Saina’ : Berkenaan Nabi Musa pula, pemergian Musa ke Thur Saina’ bukanlah untuk pencarian atas diri sendiri tetapi ia merupakan janji Allah SWT kepada Nabi Musa untuk menerima risalah Allah (taurat). Ia disebut dengan jelas di dalam surah al-A‘raf ayat 142-144

“Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya Dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu Yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah Aku Dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (Keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah Engkau menurut jalan orang-orang Yang melakukan kerosakan”.



[1] Lihat Lampiran C

[2] Tafsir al-Razi, j. 6, hal. 344-345.

No comments:

Post a Comment