Monday, May 4, 2009

ESQ : Mengambil pedoman daripada golongan yang tertolak

Mengambil pedoman daripada golongan yang tertolak[1]

75. Dalam buku ESQ Rahasia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual, Ary Ginanjar mengambil pandangan-pandangan daripada Barat tanpa sebarang tapisan. Antaranya, ketika beliau membahaskan tentang keajaiban al-Qur’an, beliau telah mengambil teori Kod 19 yang disebarkan oleh Rashad Khalifa. Ary mengatakan bahawa kalimah basmalah dan hauqalah mengandungi 19 huruf dan beliau menamakannya sebagai al-Qur’an Inter Locking System[2].

76. Pada tempat yang lain, Ary turut menerimapakai falsafah Barat yang berpegang beberapa falsafah golongan pluralisme agama. Sebagai contoh, Ary mengutip pandangan daripada pengasas Institute Global Ethic yang mendakwa bahawa kesetiaan kepada unsur lain selain suara hati yang diungkapkan di dalam hati masing-masing boleh membawa kepada kehancuran[3].

77. Ary turut mengambil pandangan pendokong fanatik rasional iaitu John Stuart Mill yang mendakwa bahawa, ”Kebenaran yang berasal dari nurani merupakan kebenaran yang dijadikan acuan bagi semua kebenaran yang lain”[4].

Ulasan:

78. Pengasas ESQ mengambil apa jua sumber sebagai rujukan tanpa mengira apa jua ideologi yang dianuti oleh sumber itu. Apa yang penting adalah sumber tersebut dapat menyokong teori yang terdapat dalam ESQ. Perkara ini bertentangan dengan perintah Allah SWT supaya tidak mencampuradukkan antara yang hak dengan yang batil.

79. Dalam hal ini, pandangan-pandangan yang dibawa oleh Ary dalam buku ini adalah pandangan atau fahaman yang bercanggah dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Kod 19 ialah faham yang dibawa oleh Rashad Khalifa dan disebarkan oleh Kassim Ahmad di Malaysia. Fahaman ini dikenali sebagai kumpulan Anti Hadith. Buku-buku Rashad Khalifa pula telah diharamkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada kali ke-14/1985. Antara buku tersebut ialah buku yang membicarakan tentang Kod 19 berjudul Al-Qur’an The Ultimate Miracle. Manakala negeri-negeri seperti Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Selangor telah memfatwakan kesesatan kumpulan Anti Hadith.

80. Fahaman yang berasaskan Global Ethic pula adalah pandangan yang bertunjangkan doktrin penyamarataan semua agama atau pluralisme agama. Fahaman ini telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada kali ke-74/2006.



[1] Lihat Lampiran H

[2] Ary Ginanjar Agustian, ESQ Rahasia Sukses Membangun Keceerdasan Emosi dan Spiritual, Jakarta: Arga Publishing, hal. 187.

[3] Ibid., hal. 164.

[4] Ibid.

No comments:

Post a Comment