Monday, May 4, 2009

ESQ : KEPUTUSAN PANEL KAJIAN AQIDAH JAKIM

KEPUTUSAN PANEL KAJIAN AQIDAH JAKIM

83. Kertas kajian dan isu berkenaan ESQ telah dibentang dan dibincangkan sebanyak empat kali iaitu pada Mesyuarat Panel Kajian Aqidah (PKA) kali ke-38 pada 28 Ogos 2008, Mesyuarat Khas PKA berkenaan ESQ pada 14 Oktober 2008, Mesyuarat PKA kali ke-39 pada 27-28 November 2008 dan Mesyuarat Khas PKA berkenaan ESQ pada 10 Februari 2009.





84. Kesimpulan dan keputusan mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah seperti berikut:


i) Mesyuarat PKA kali ke-38 pada 28 Ogos 2008


Kesimpulan:


a) Perkara-perkara aqidah yang eksklusif di dalam Islam cuba difahami secara inklusif melangkaui agama-agama lain memandangkan para perserta kursus terdiri daripada pelbagai latar belakang agama.

b) Salahtafsiran terhadap kisah Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Musa AS yang dikatakan mencapai kesedaran rohani melalui pencarian dan pengalaman.

c) Membimbing supaya para peserta menuruti suara hati kerana ia adalah punca kebenaran dan Ihsan memandangkan nama-nama dan sifat-sifat Tuhan terletak di dalam God Spot.

d) Mentafsirkan al-Asma al-Husna tanpa berteraskan disiplin ilmu aqidah sebaliknya cuba memaksa terjemahan nama-nama Allah bersesuaian dengan matlamat kursus iaitu untuk motivasi kepimpinan.

e) Mengemukakan tafsiran baru terhadap Iman, Islam dan Ihsan.

f) Mengadakan rumus ZMP yang didakwa punca manusia mendapat kekuatan atau perkara luar biasa.

g) Menganjurkan perbuatan-perbuatan ibadah mahdhah dengan disertai bersama oleh peserta bukan Islam.


Keputusan:


a) Terdapat keraguan-keraguan yang dikhuatiri boleh menyelewengkan aqidah di dalam kursus tersebut.

b) Doktrin bahawa kebenaran boleh diperolehi melalui pengalaman/pencarian (termasuk oleh para nabi) perlu dijadikan asas kepada penyelewengan ESQ.


ii) Mesyuarat Khas PKA berkenaan ESQ pada 14 Oktober 2008


a) Bersetuju dengan pembentangan oleh ahli PKA, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat bahawa; keraguan-keraguan yang dikhuatiri boleh menyelewengkan aqidah di dalam kursus ESQ adalah wujud sebagaimana yang telah dibentangkan oleh urusetia JAKIM pada mesyuarat PKA kali ke-38.


iii) Mesyuarat PKA kali ke-39 pada 27-28 November 2008 dan pertemuan ahli PKA dengan penganjur/moderator ESQ


Kesimpulan:


a) Berlaku campuraduk antara kebenaran dan kebatilan dalam metodologi kursus yang disampaikan oleh ESQ.

b) Penggunaan istilah-istilah agama sebagai saduran untuk membenarkan teori-teori yang dikemukakan.

c) Tidak mempunyai asas yang kukuh dalam menafsirkan semula makna Iman, Islam dan Ihsan.

d) Terdapat unsur-unsur mengeksploitasi agama Islam untuk tujuan keuntungan korporat.

e) Mengeksploitasi elemen-elemen ritual dalam Islam yang eksklusif seperti solat, zakat dan haji bagi tujuan yang inklusif dan boleh digunapakai oleh semua agama.

f) Dikhuatiri akan wujud di kalangan golongan bukan Islam yang memeluk Islam atas dasar memeluk ESQ bukan memeluk dan memahami Islam sebagaimana tradisi keilmuan Islam.


Keputusan:

a) Mesyuarat mengesyorkan supaya satu mesyuarat khas PKA diadakan sekali lagi, bagi meneliti sedalam-dalamnya pemikiran dan falsafah yang terdapat di sebalik pengajaran kursus ESQ.


iv) Mesyuarat khas PKA berkenaan ESQ pada 10 Februari 2009


Kesimpulan:

Terdapat penyelewengan dalam ESQ pada aspek-aspek berikut:-


Aspek aqidah

a) Mendakwa para Nabi mencapai kebenaran (kesedaran rohani) menerusi pengalaman dan pencarian (tanpa menyatakan peranan wahyu). Pengasasnya mengiaskan dirinya dengan para Nabi dalam pencarian mencari kebenaran sedangkan para Nabi dikurniakan wahyu oleh Allah SWT.

b) Menafikan eksklusivisme aqidah Islam dengan mengatakan bahawa rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan bukan hanya eksklusif untuk umat Islam.

c) Mendakwa suara hati ialah punca kesedaran rohani (spiritual quotient/martabat ihsan) termasuk mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin yang paling kuat berpegang kepada logika dan suara hati.

d) Tafsiran salah terhadap al-Asma’ al-Husna iaitu dengan mengatakan bahawa manusia dan seluruh alam adalah wakil 99 nama/sifat Allah SWT. ESQ mendakwa ‘fitrah’ bermaksud Allah SWT meniupkan 99 sifat-Nya ke dalam diri manusia. Di samping itu ESQ cuba menafsirkan semua nama-nama Allah SWT bersesuaian dengan matlamat kursus.

e) Mendakwa kekuatan luar biasa seperti mukjizat dan karamah boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan rumus ZMP ini, ESQ mengiaskan bahawa mukjizat Nabi Musa a.s. diselamatkan oleh Allah SWT daripada tentera Fir’aun boleh jua berlaku kepada orang lain iaitu seperti yang berlaku kepada juru terbang Kapten Abdul Razak.


Aspek syariah


a) Mengadakan tafsiran baru terhadap Islam, Iman dan Ihsan dalam penjelasan berkenaan The ESQ Way 165 dengan diakhiri ayat al-Qur’an “Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu...”.

b) Sujud dengan tidak menurut hukum syara’ serta diikuti bersama peserta bukan Islam.

c) Simulasi dengan melakukan perbuatan-perbuatan haji dengan disertai bersama peserta bukan Islam.

d) Mengambil pedoman daripada golongan yang tertolak seperti menerima teori Kod 19 yang dibawa oleh Rashad Khalifah dan pandangan-pandangan ahli falsafah Barat tentang makna kebenaran.

ESQ: KAJIAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA

KAJIAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA[1]

82. Kajian pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) terhadap ESQ Leadership Center berpendapat kursus ESQ tidak sesuai dilaksanakan di kalangan masyarakat umum berdasarkan penemuan-penemuan berikut:-

a) Pendekatan menggunakan penemuan sains bagi membuktikan kebenaran al-Qur’an tidak sesuai kepada umat Islam tetapi hanya sesuai buat bukan Islam dan golongan tidak mendapat pendedahan agama.

b) Pendekatan meluahkan rasa hati secara histerikal, khususnya ketika memohon ampun kepada Allah di khalayak ramai.

c) ESQ sebagai satu kursus penyucian diri dengan kenyataan moderator ESQ, ”Pada hari ini, kamu telah dimuliakan sama seperti para Nabi dan orang-orang yang mulia”. Ia mirip dengan konsep agama Kristian.

d) Muzik latar yang sentiasa digunakan walaupun ketika berdoa, bersujud dan membaca al-Fatihah.

e) Terdapat percampuran antara aktiviti keagamaan dan hiburan.

f) Terdapat ciri-ciri ketaksuban alumni ESQ terhadap Ary Ginanjar, ia dibimbangi melahirkan kumpulan seperti al-Arqam.

g) Terdapat ciri-ciri Batiniah dalam takwilan yang dibuat ke atas rukun Iman, Islam dan Ihsan demi menyesuaikannya dengan kehendak Barat.

h) Terjemahan ke atas Nama-nama dan Sifat-sifat Allah diterjemahkan dengan terjemahan yang longgar dan tidak tepat serta tidak mengambil manfaat daripada tafsiran Nama-nama dan Sifat-sifat Allah daripada para ulama mu’tabar.

i) Ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith digunakan menurut faham dan kehendak moderator ESQ secara semberono ketika mereka cuba mengupas teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana Barat.



[1] Lihat Lampiran J

ESQ:Mendakwa Para Nabi Mencapai Kebenaran Menerusi Pengalaman dan Pencarian

Mendakwa Para Nabi Mencapai Kebenaran (Kesedaran Rohani) Menerusi Pengalaman dan Pencarian (Tanpa Menyatakan Peranan Wahyu)[1]

27. Pada permulaan kursus, para moderator akan meminta kepada semua peserta supaya mengosongkan minda termasuk segala pengetahuan, pangkat dan kekayaan bagi memastikan hati mereka benar-benar dapat memahami apa yang akan dilalui. Perkara ini dinamakan sebagai zero mind process.

28. Menurut mereka, kursus ini tidak memerlukan sebarang catatan nota atau buku rujukan sebaliknya hanya mendengar, melihat dan memerhati melalui gambaran perjalanan yang akan dipaparkan. Bagi mereka, melalui pengalaman perjalanan hidup, manusia mampu untuk menemui kebenaran sebagaimana yang berlaku kepada tiga nabi besar iaitu Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Musa AS. Menurut ESQ, proses pencarian makna diri itu telah dilakukan oleh Nabi Muhammad melalui lima tahun di Gua Hira’. Nabi Ibrahim pula selama bertahun-tahun mencari makna diri di sebalik bintang, bulan dan matahari. Manakala Nabi Musa pula mencari selama 40 hari di Gunung Thur Saina’. Di dalam bukunya, pengasas ESQ turut menjelaskan bagaimana beliau telah menemui makna dirinya melalui pengalaman hidupnya yang penuh berliku.

29. Kaedah yang digunakan, para peserta akan dipaparkan dengan dua bentuk perjalanan iaitu outer journey dan inner journey. Outer journey iaitu sebuah perjalanan mengembara ke angkasa lepas sehingga menembusi alam cakerawala setakat yang dapat dilihat oleh teleskop hubble. Melalui perjalanan ini moderator akan menjelaskan bagaimana kebenaran al-Qur’an tentang permulaan penciptaan alam semesta. Manakala inner journey pula merupakan perjalanan menyingkap jauh ke dalam diri manusia. Ia melihat bagaimana kejadian tubuh badan fizikal manusia sehingga sampai kepada satu titik yang dipanggil sebagai God Spot. Pada titik tersebut terdapatnya nilai-nilai spiritual pada seluruh manusia tanpa disedari oleh diri manusia itu sendiri.

Ulasan:

30. Kenyataan bahawa kesedaran rohani (spiritual quotient) mampu dicapai melalui pengalaman adalah sesuatu yang agak meragukan. Ini kerana pengajaran seumpama ini boleh mengubah persepsi Islam terhadap ilmu. Bagi Islam pengalaman hidup hanyalah merupakan satu panduan agar manusia lebih berhati-hati tetapi ia tidak boleh dijadikan sumber mencapai tahap kesedaran rohani. Islam meletakkan ilmu sebagai punca untuk mencapai kesedaran rohani, oleh kerana itu golongan yang paling berilmu dianggap sebagai golongan yang amat bertaqwa kepada Allah, firman Allah di dalam surah Fathir ayat 28:

”Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu”.

31. Kenyataan bahawa ketiga-tiga nabi iaitu Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa menemui kebenaran atau kesedaran rohani melalui pencarian juga adalah tidak tepat. Ini kerana nabi-nabi tersebut menerima kebenaran dengan wahyu Allah SWT dan bukan dengan pencarian dan pengalaman. Di sini dikemukakan kebatilan hujah-hujah yang mengatakan para Nabi mencari sebelum menerima wahyu atau hidayah:-

a) Pencarian Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’ : Kita tidak boleh mengatakan Nabi Muhammad menemui kebenaran dengan pencarian melalui usahanya sendiri sebaliknya ia merupakan wahyu daripada Allah SWT. Ia jelas dalam hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a. : “Mula-mula wahyu Allah SWT diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah dalam bentuk mimpi-mimpi yang kebenarannya seterang cahaya siang hari, lalu kecintaan ber-khalwat (mengasingkan diri) dilimpahkan Allah SWT kepadanya. Ia pergi berkhalwat di gua Hira tempat ia beribadah kepada Allah SWT terus menerus selama beberapa malam sebelum kembali (atau ia ingin berjumpa dengan) keluarganya. Ia membawa bekal makanan untuk persediaan dan pulang menemui Khadijah (istrinya) untuk mengambil lagi bekal makanan hingga wahyu secara tiba-tiba diturunkan kepadanya pada saat ia masih berada di gua itu”.

b) Pencarian Nabi Ibrahim di sebalik bulan dan bintang : Nabi Ibrahim juga tidak boleh dikatakan menemui kebenaran melalui pencarian dan pengalaman. Ini kerana peristiwa yang digambarkan di dalam surah al-An’am ayat 76-78 bukan menunjukkan Nabi Ibrahim mencari dan menemui kebenaran hasil daripada usaha diri sendiri. Sebaliknya peristiwa itu berlaku setelah Nabi Ibrahim telah pun diutus menjadi nabi dan menyampaikan risalah Allah. Peristiwa itu hanya sebagai hujjah untuk menunjukkan kebenaran Allah SWT kepada kaumnya. Imam Fakhruddin al-Razi membentangkan hujah-hujah untuk mengatakan peristiwa tersebut berlaku setelah Nabi Ibrahim menjadi Rasul. Antara hujah beliau ialah seperti berikut:-

الحجة الأولى : أن القول بربوبية النجم كفر بالإجماع والكفر غير جائز بالإجماع على الأنبياء.

“Hujah pertama: Bahawa pendapat tentang ketuhanan bintang adalah kufur dengan ijma’, sedangkan kekufuran adalah sesuatu yang tidak harus secara ijma’ ke atas para Nabi”.

الحجة الثانية : أن إبراهيم عليه السلام كان قد عرف ربه قبل هذه الواقعة بالدليل . والدليل على صحة ما ذكرناه أنه تعالى أخبر عنه أنه قال قبل هذه الواقعة لأبيه آزر : { أَتَتَّخِذُ أَصْنَاماً ءالِهَةً إِنّى أراك وقومك في ظلال مبين } [الأنعام : 74].

“Hujah kedua: Bahawa Nabi Ibrahim a.s. sebenarnya telah mengenal tuhannya sebelum peristiwa ini dengan dalil (al-Qur’an). Dalil tentang kebenaran apa yang kami sebutkan ialah Allah SWT memberitahu tentangnya, bahawasanya beliau (Nabi Ibrahim) telah berkata sebelum peristiwa ini kepada bapanya, Azar: Adakah kamu mengambil berhala-berhala sebagai tuhan, sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-An’am)

الحجة الثامنة : أن هذه الواقعة إنما حصلت بسبب مناظرة إبراهيم عليه السلام مع قومه ، والدليل عليه أنه تعالى لما ذكر هذه القصة قال : { وَتِلْكَ حُجَّتُنَا ءاتيناها إبراهيم على قَوْمِهِ } ولم يقل على نفسه ، فعلم أن هذه المباحثة إنما جرت مع قومه لأجل أن يرشدهم إلى الإيمان والتوحيد . لا لأجل أن إبراهيم كان يطلب الدين والمعرفة لنفسه.

“Hujah kelapan: Bahawa peristiwa ini terjadi dengan sebab perdebatan antara Nabi Ibrahim a.s. dengan kaumnya. Dalil tentangnya bahawa Allah SWT ketika menyebut kisah ini berfirman: Dan demikian hujah kami, kami datangkannya kepada Ibrahim buat kaumnya. Ayat ini tidak menyebut buat dirinya sendiri, maka dimaklumi bahawa perbahasan ini berlaku dengan kaumnya untuk memberikan mereka petunjuk kepada iman dan tauhid. Bukan dengan kerana Ibrahim mencari agama dan pengetahuan bagi dirinya sendiri” [2].

c) Pencarian Nabi Musa di Thur Saina’ : Berkenaan Nabi Musa pula, pemergian Musa ke Thur Saina’ bukanlah untuk pencarian atas diri sendiri tetapi ia merupakan janji Allah SWT kepada Nabi Musa untuk menerima risalah Allah (taurat). Ia disebut dengan jelas di dalam surah al-A‘raf ayat 142-144

“Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya Dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu Yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah Aku Dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (Keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah Engkau menurut jalan orang-orang Yang melakukan kerosakan”.



[1] Lihat Lampiran C

[2] Tafsir al-Razi, j. 6, hal. 344-345.